Wednesday, July 9, 2008

Sisa pepejal mesti diasing ikut jenis

ORANG ramai dan sektor tertentu termasuk peniaga restoran dan di kawasan pembinaan akan diwajibkan mengasingkan semua jenis sisa pepejal khas untuk memudahkan proses pelupusan serta dikitar semula, menjelang akhir tahun ini.

Perkara itu adalah antara peraturan yang bakal dikuat kuasa menerusi Akta Pelupusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang sedang diperhalusi sebelum ia dilaksanakan sebagai undang-undang.

Akta itu yang diwartakan sejak 30 Ogos tahun lalu turut mengenakan denda sehingga ribuan ringgit dan penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan kepada pihak yang gagal mematuhi akta itu.

Ketua Pengarah Sisa Pepejal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr Nadzri Yahaya, berkata akta itu yang sedang diperhalusi turut merangkumi soal reka bentuk, jenis dan bilangan bekas yang perlu disediakan bagi memudahkan kerja pemungutan sampah dilakukan mengikut setiap kategori sampah.

Katanya, kempen secara agresif akan dilakukan di pelbagai sektor terutama kepada masyarakat mengenai tanggungjawab mereka untuk mengasingkan barangan sisa pepejal di dalam satu bekas supaya dapat dilupuskan atau dikitar semula mengikut kategori.

Justeru, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menyediakan tong atau bekas bersesuaian kepada semua sektor supaya mereka dapat mengasingkan setiap sisa pepejal mengikut kategori.

Ini akan memudahkan PBT mengutipnya tanpa sebarang masalah terutama plastik supaya tidak dihantar ke tapak pelupusan sampah.

“Masih ramai lagi, masyarakat yang mencampurkan semua jenis sampah sama ada sampah organik, kertas, plastik, kotak dan sebagainya di dalam satu beg plastik. Kesedaran orang ramai berkaitan perkara itu masih rendah.

“Semua sisa pepejal itu akan terus di bawa ke tapak pelupusan sampah untuk dilupuskan. Bagi plastik itu ia sukar untuk dilupuskan sepenuhnya dan perlu mengambil masa amat panjang sekiranya ia ditempatkan di tapak berkenaan dan sekali gus ia mencemarkan alam sekitar.

“Oleh itu, kita melancarkan Kempen Kitar Semula bagi sisa pepejal tertentu terutama plastik supaya ia dapat digunakan semula,” katanya.

No comments: