Thursday, June 5, 2008

Pembangunan ekonomi, alam mesti seimbang

PEMANASAN global, kenaikan paras laut, pengeluaran karbon berlebihan, bencana alam tsunami yang menjadikan beberapa daerah dunia sebelah sini bagai padang jarak padang tekukur, sudah cukup perit untuk dialami.

Ini ditambah pula fenomena seperti taufan Katrina yang menenggelamkan bandar raya New Orlean (Amerika Syarikat), taufan Nargis yang memaksa pemerintahan junta Myanmar membuka pintunya kepada bantuan dunia dan terbaru, gempa bumi yang meranapkan beberapa bandar raya di China.

Sejak awal dekad baru ini, penduduk dunia terus dikejutkan dengan pelbagai bencana alam yang amat dahsyat, mengorbankan jutaan nyawa manusia, menjadikan jutaan lain kebuluran, hilang tempat tinggal, menjadi yatim piatu manakala bandar, pekan dan kampung musnah.

Pertanyaan mengapa bencana datang silih berganti, akhirnya jawapan kebanyakan menjurus kepada angkara manusia itu sendiri yang banyak mengubah muka bumi ini atas nama pembangunan, motif berkiblatkan keuntungan hingga menyebabkan khazanah alam sekitar semakin pupus. Ke arah mana pun kesalahan dituding, akhirnya ia tetap menghala kepada manusia.

Walaupun semakin ramai rakyat bercakap mengenai pemuliharaan alam sekitar, rata-rata masih sekadar retorik, gagal disertai sebarang tindakan konkrit. Bagi Malaysia sendiri, pelbagai kempen dan slogan dilancarkan untuk menjaga alam sekitar. Namun, usaha ke arah pemuliharaan alam sekitar akhirnya hanya tinggal slogan.

Justeru, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia hari ini, seluruh warga dunia termasuk rakyat Malaysia perlu mula mengubah sikap.

Mengimbau kembali sejarah pemilihan tarikh 5 Jun ini, Koordinator Program Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) sebuah unit di bawah Program UNDP, Dr Martin Abraham, berkata Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan tarikh itu pada 1972 bertujuan mencetus kesedaran penduduk dunia dan penggubal dasar bagi mengambil tindakan lebih agresif ke arah penjagaan alam sekitar.

"Persidangan PBB Mengenai Persekitaran Manusia diadakan kali pertama di Stockholm dan hanya selepas 20 tahun iaitu pada Sidang Puncak Bumi di Rio de Janeiro, pada 1992, baru diwujudkan satu garis panduan ke arah pemuliharaan alam sekitar yang lebih konkrit.

"Deklarasi Rio adalah dokumen pertama menyentuh semua isu mengenai alam sekitar dan pembangunan lestari dan ia menjadi perdebatan umum.

"Hasilnya ialah Protokol Kyoto ditandatangani kira-kira 180 negara (kecuali beberapa negara maju) pada 1997. Di bawah protokol ini, 38 negara perindustrian berikrar untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon pada tahap 5.2 peratus lebih rendah pada kadar dicatat pada 1992 dan sasaran ini diharap dapat direalisasi antara 2008-2012," katanya. Namun, Persidangan PBB
Mengenai Perubahan Cuaca di Bali tahun lalu menyaksikan beberapa perubahan besar.

Beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, yang sebelum ini enggan menandatangani Protokol Kyoto, kembali bersama negara dunia lain dengan usaha lebih serius ke arah menangani pengeluaran gas karbon. Selepas tema 'Ais Semakin Cair - Satu Topik Panas?' tahun lalu, kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran karbon di seluruh dunia, membuatkan PBB memilih tema 'CO2, Kick the Habit! Towards a Low Carbon Economy' (CO2! Buangkan Tabiat Lama. Ke Arah Ekonomi Rendah Karbon) untuk Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini.

Tema ini memang terasa bahangnya di Malaysia. Pembukaan tanah hutan secara besar-besaran, sama ada untuk projek pembangunan, infrastruktur, mahupun pertanian, adalah antara penyumbang terbesar kepada pengeluaran karbon. Itu belum lagi membabitkan isu pembakaran hutan yang boleh membawa kepada konflik jerebu yang turut membabitkan negara jiran. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas lebih awal mengemukakan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang, terutama kemungkinan kejadian jerebu akan terus berlaku antara Jun hingga Ogos.

Ketika pujian harus diberi kerana memberi amaran awal, lebih banyak langkah perlu diambil bagi memastikan rakyat sendiri dapat memainkan peranan lebih serius dalam usaha pemantauan. Isu alam sekitar bukan sekadar membabitkan pembakaran dan penebangan hutan secara besar-besaran, kerana ia menjangkau lebih jauh daripada itu.

Turut mengalami kesan serius daripada isu pencemaran, pembangunan melampau dan krisis pemanasan global ialah lautan, hidupan marin, sungai dan sumber air lain yang penting pada kehidupan manusia, bukit-bukau diratakan. Malah, perubahan cuaca yang tidak menentu turut menyebabkan kejadian banjir dan kemarau luar biasa.

Tetapi faktor utama yang memburukkan persekitaran alam semula jadi ini ialah sikap 'tak apa' majoriti rakyat terhadap isu alam sekitar, sekali gus menyebabkan pelbagai spesies tumbuhan, binatang, malah 'kepakaran' manusia dalam bidang perubatan tradisional mengalami kepupusan.

"Tidak ada siapa yang boleh menafikan pembangunan adalah penting untuk kehidupan manusia dan kumpulan etnik seperti Orang Asli juga berhak menikmati kehidupan selesa yang dibawa arus pembangunan.

"Tetapi perlu ada satu titik keseimbangan dalam mencari keselesaan hidup melalui pembangunan fizikal dan memastikan khazanah alam terus dipulihara. Kegagalan berbuat demikian, membuatkan manusia bukan saja kehilangan pelbagai spesies tumbuhan serta binatang hutan, bahkan kepakaran mencari tumbuhan hutan untuk dijadikan ubat turut pupus kerana tidak ada siapa mahu mewarisi kepakaran itu," kata Dr Martin.

Justeru, bagi menggalakkan kumpulan komuniti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu mengurangkan kemusnahan alam sekitar yang semakin membimbangkan, Dr Martin menggunakan pentas sebagai koordinator GEF untuk mengeluarkan geran bagi projek pemuliharaan alam dan langkah meningkatkan pembangunan lestari di kalangan masyarakat setempat.

"Kami menyediakan geran yang memberi tumpuan kepada projek kepelbagaian bio, perubahan cuaca, perairan antarabangsa, penggunaan tanah tidak mesra alam, lapisan ozon dan pencemaran organik yang berterusan," katanya mengenai Program Geran Kecil GEF yang boleh diberi sehingga AS$50,000. Antara projek yang dilaksanakan di bawah program GEF ini ialah Perubahan Dunia Untuk Kaum Semelai (Wanita Tasik Bera), Taman Hutan Komuniti Kota Damansara, Penduduk Luar Bandar Makan Apa, Nelayan Pantai Pulau Pinang: Keunikan Alat Tangkapan Tradisional, Hutan Paya Bakau Pulau Pinang: Satu Warisan Yang Harus Diselamatkan dan Tumbuhan Ubatan di Tanjung Kruing. "Melalui program GEF, kami mendapati pelbagai usaha ke arah pemuliharaan boleh dilakukan tetapi tidak ramai yang komited," kata Dr Martin. Isu komitmen bukan saja dialami Malaysia, bahkan seluruh dunia dan ia perlu membabitkan perubahan sikap seluruh umat manusia pada semua peringkat. Dengan Malaysia memilih tema 'Ke Arah Hidup Lestari' untuk sambutan kali ini, perkara pertama perlu ditumpukan ialah perubahan sikap pada semua peringkat daripada penggubal polisi, agensi pelaksana serta seluruh rakyat. Kerana itu, di kala nasihat diberi kepada rakyat Malaysia untuk kembali 'Ke Arah Hidup Lestari', penggubal dasar, pihak berkuasa, pihak pemaju serta semua yang terbabit dengan proses pembangunan negara, perlu melihat pada diri sendiri terhadap semua projek yang dirancang dan memastikan ia selari dengan agenda yang diuar-uarkan.

No comments: