TARIKH 5 Jun menjadi hari keramat disambut di serata dunia dengan pelbagai program meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia (HASS). Tahun ini HASS peringkat antarabangsa disambut secara besar-besaran dengan pelbagai program di Wellington, New Zealand dengan tema ‘buang tabiat lama’. Ia juga turut disambut di lebih 100 negara serata dunia. Apapun bentuk program dan kemeriahan acara dianjurkan, fokusnya sama iaitu alam sekitar perlu dijadikan pertimbangan utama dalam dasar pembangunan, hubungan kerjasama serantau, falsafah pendidikan, kegiatan ekonomi dan cara hidup. Segala aspek kehidupan perlu dikaji semula supaya bersifat mesra alam dan memenuhi ciri kelestarian. Demikianlah rutin tahunan sejak mula diperkenalkan pada 1992, khususnya di negara maju, menyambut dan merayakan 5 Jun. Dalam pelbagai upacara dan ritualnya, pemimpin politik, negarawan, environmentalis, saintis, aktivis dan mereka yang prihatin berhimpun untuk sama-sama memperbaharui azam serta melafazkan ikrar melestarikan alam sekitar dengan lebih efektif dan efisien.
Bagaimanapun, di Malaysia, tarikh 5 Jun tidak disambut dengan upacara rasmi pada peringkat nasional kerana kebiasaannya (kecuali 2004) sambutan Minggu Alam Sekitar diadakan pada September. Rasionalnya kerana Deklarasi Langkawi mengenai iltizam kerajaan dan rakyat Malaysia diadakan pada September lebih sedekad lalu. Di situ jugalah pelbagai acara dilangsungkan, termasuk Anugerah Langkawi kepada tokoh alam sekitar negara. Namun demikian, sambutan di Malaysia biar apapun tarikhnya dilakukan secara sederhana saja, tanpa program yang disorot secara hebahan langsung atau komitmen membabitkan perubahan dasar utama pembangunan negara. Tema HASS tahun ini sinis sifatnya. ‘Buang tabiat lama’ merujuk kepada dasar, kaedah dan cara hidup berasaskan kerangka pembangunan yang banyak menghasilkan gas karbon yang menyumbang kepada pemanasan suhu bumi sehingga menyebabkan perubahan cuaca dan pelbagai bencana lain.
Tabiat lama itu termasuk tabiat harian sebagai individu, misalnya berkaitan kemudahan pengangkutan, penggunaan tenaga dan sumber air, berbelanja sehinggalah pemakanan. Semua kegiatan harian ada kesannya dalam konteks penghasilan gas karbon ke ruang udara dan penjanaan sisa. Memang kita akui, sukar untuk kita menjalani kehidupan tanpa penghasilan karbon. Malah setiap kali kita bernafas menggunakan gas oksigen, kita menghasilkan karbon dioksida. Setiap kali kita makan, kita menghasilkan sisa organik yang juga mengandungi sebatian karbon. Hal ini lebih ketara jika kita memulakan sesuatu aktiviti seperti menaiki kenderaan yang memerlukan bahan api fosil berasaskan karbon. Selain itu, hasil proses pembakaran kenderaan juga menghasilkan gas karbon. Untuk belajar kita membaca buku yang diperbuat daripada kertas. Biasanya kertas dihasilkan daripada serat kayu menerusi industri pembalakan. Dengan kata lain, semakin banyak kita membaca maka semakin banyak pula pokok yang perlu ditebang untuk menghasilkan buku.
Lalu apa rasional dan alternatif kita membuang tabiat lama menghasilkan karbon itu seperti tersurat dalam tema HASS 2008? Rasionalnya ialah kita tidak lagi boleh berterusan membebaskan gas karbon ke ruang udara pada kadar semasa. Usaha perlu dilakukan untuk mengurangkannya ke tahap 1990 sebelum 2012, seperti kata sepakat termeterai menerusi Protokol Kyoto 1998. Oleh itu, langkah drastik perlu dilakukan semua pihak - individu, keluarga, organisasi, industri, kerajaan dan siapa saja, membuang tabiat lama dan mengamalkan tabiat baru mesra alam. Dr Stephen Covey dalam buku The Seven Habits of Highly Effective People, berkata sesuatu tabiat baru menjadi cara hidup apabila kita mengadunkan tiga perkara, iaitu ilmu mengenai hal berkenaan, kaedah melaksana atau bertindak dan sikap. Dalam konteks HASS, ilmu mengenai sebab, faktor dan status semasa peningkatan suhu bumi dan perubahan cuaca difahami, khususnya menerusi laporan terkini Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Cuaca (IPCC) terbit awal tahun ini. Kesannya kepada sektor ekonomi juga dikenal pasti, misalnya menerusi Laporan Stern 2007. Kaedah mengatasinya juga diketahui umum iaitu dengan mengurangkan pembebasan gas karbon ke ruang udara. Selain itu pelbagai teori dan pendekatan ekonomi dikemukakan, misalnya ekonomi neutral karbon dan pembangunan lestari. Persoalannya kini ialah menggerakkan seluruh lapisan masyarakat, daripada individu, keluarga, masyarakat dan negara, untuk mengubah minda dan sikap supaya lebih lestari dan mengamalkan cara hidup serta tabiat mesra alam. Tema HASS 2008 bukan lagi retorik tetapi menuntut semua pihak bertindak menghayati tabiat hidup mesra alam. Memang sukar untuk kita melakukan apa saja aktiviti tanpa menghasilkan gas karbon. Tetapi kita boleh memerangkap pelepasan karbon itu, malah menggantikannya dengan gas oksigen. Hal ini boleh dilakukan menerusi sekurang-kurangnya lima tindakan berikut: l Menanam pokok kerana pokok menggunakan karbon dioksida untuk proses fotosintesis kemudian menghasilkan gas oksigen. Pokok dan hutan juga boleh menyejukkan persekitaran dan mengurangkan hakisan tanah; l Menggunakan tenaga elektrik dengan lebih efisien dan berhemat kerana penjanaan tenaga elektrik secara konvensional menghasilkan banyak karbon; l Menggunakan kenderaan secara lebih efisien, misalnya pengangkutan awam atau enjin kenderaan mesra alam seperti penggunaan hidrogen atau bahan api mesra alam; l Memastikan keluarga dan organisasi kita terbabit dalam inisiatif mesra alam dengan pelbagai program serta amalan, dan l Mengganti setiap aktiviti yang membebaskan gas karbon dengan aktiviti memerangkap karbon atau menghasilkan gas oksigen - seperti menanam pokok dan pemerangkapan biogas supaya terhasil situasi sekurang-kurangnya karbon sifar. Kalaulah kita faham mengenai fenomena terkini dan risiko peningkatan suhu bumi, maka kita pasti sedar bahawa keadaan kini semakin terdesak dan pilihan kian terhad. Keutamaan ialah mengurangkan pelepasan karbon secara pukal pada setiap peringkat di seluruh dunia. ‘Buang tabiat lama’ juga merangkumi penghakisan sikap apati yang tidak menghiraukan kepentingan orang lain meliputi seluruh warga dunia, dan membuang fahaman lama yang mengandaikan bahawa peningkatan suhu bumi masih belum kritikal.
Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia
Tuesday, June 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment