Wednesday, May 7, 2008

Krisis akibat perubahan iklim semakin ketara

BULAN lalu, Suruhanjaya Tinggi British dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, mengadakan kerjasama kedua dalam tempoh enam bulan untuk melihat susulan perjalanan yang bakal ditempuh Malaysia selepas Persidangan Perubahan Iklim di Bali, Disember lalu. Satu hakikat yang diterima semua pihak di Bali dan menjadi tumpuan utama forum ialah di mana saja kita tinggal, semiskin atau sekaya mana kita pun, sebagai manusia - setiap seorang daripada kita akan menerima kesan daripada perubahan iklim ini.

Dalam erti kata lain, perubahan iklim adalah kemuncak ekspresi dalam kehidupan kita sebagai manusia yang saling bergantung. Lebih penting, tidak ada seorangpun boleh meluahkan perkataan: “Kita tidak boleh melakukan apa-apa kerana orang lain tidak bersedia untuk mengambil langkah pertama”.

Sikap menuding jari dan kelakuan ‘(kita akan ambil tindakan) selepas anda’ - akan memusnahkan kita semua. Setiap manusia perlu mengambil langkah pertama, yang mesti meliputi:

l Usaha mengurangkan pengeluaran gas global daripada tahap yang dicatat pada 1990; l Komitmen lebih serius daripada negara membangun;

l Mewujudkan satu pasaran global karbon, dengan meletakkan ‘harga tinggi’ kepada persekitaran yang buruk. Ini sekali gus menggalakkan manusia untuk melabur ke arah persekitaran yang lebih sihat;
l Perjanjian lebih adil ke atas perpindahan teknologi;
l Elakkan penebangan hutan secara besar-besaran;
l Sesuaikan pembangunan dengan persekitaran lebih sihat;
l Gandingan tenaga serta kewangan ke arah pembangunan lebih mesra alam;
l Satu perjanjian yang membabitkan seluruh negara dunia dan semua jenis pengeluaran gas; dan l Tanggungjawab sepenuhnya semua pihak untuk meleraikan kemelut yang semakin serius.

Keputusan penting selepas ini membabitkan rundingan dunia untuk menangani perubahan iklim ini akan diadakan di Copenhagaen (Denmark), pada Disember tahun depan. Usaha untuk mencapai semua perkara di atas, perlu dijadikan tanggungjawab seluruh umat manusia dalam tempoh dua tahun akan datang. Usaha melaksanakan semua tindakan ini mungkin lebih sukar daripada difikirkan. Lord Sterb, penulis jurnal Review mengenai kesan perubahan iklim ke atas ekonomi global, menegaskan bahawa penulisannya dalam jurnal itu sebenarnya tidak menggambarkan wajah sebenarnya skala krisis yang akan dihadapi manusia.

Bagaimanapun, kita tidak mampu untuk berasa lemah semangat, Sebaliknya, kita perlu bertanya apa yang akan dilakukan negara seperti United Kingdom untuk menghadapi cabaran ini terutama dalam ekonomi domestiknya?

Saya akan cuba memberi tumpuan kepada tiga perkara utama:
l Komitmen UK kini berada di landasan yang melampaui (hampir dua kali ganda) daripada yang digaris Protokol Kyoto;
l Kami mewujudkan cabaran lebih serius untuk mencapai matlamat domestik - mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sehingga 60 peratus di bawah kadar pada 1999, menjelang 2050; dan
l Kami telah mengenal pasti keperluan untuk bergerak lebih jauh. Kerana itu Kerajaan UK membentangkan Rang Undang-undang Perubahan Iklim, yang akan memastikan Kerajaan British pada masa depan terikat secara perundangan untuk memenuhi sasaran domestik yang ditetapkan. Malaysia juga menghadapi cabaran tersendiri dalam menangani isu keselamatan iklim ini.

Hakikatnya ialah apa yang bakal berlaku di Malaysia, serta di kawasan lebih luas di Asia Tenggara, menjadi faktor amat penting kepada keselamatan iklim kepada kita semua. Kerana itu, saya amat mengalu-alukan sebarang tindakan Malaysia untuk menggubal dasar membabitkan perubahan iklim ini merentas semua kerajaan Asean.

Saya juga mengalu-alukan pembabitan lebih ramai masyarakat umum dan golongan perdagangan dalam agenda perubahan iklim di negara ini. Kami di UK, mengalami banyak pengalaman dalam perkara ini dan tidak menghadapi masalah untuk berkongsi pengalaman dengan Malaysia.

Melihat kepada agenda perubahan iklim antarabangsa, saya percaya Persidangan Bali menggariskan proses rundingan yang komprehensif, yang turut mengenal pasti negara membangun seperti Malaysia sebagai kunci utama dalam beberapa bidang, seperti perpindahan teknologi dan akses sumber kewangan.

UK juga mengalu-alukan keputusan di Bali untuk melancarkan program kerja di bawah Kumpulan Pakar UNFCCC membabitkan Perpindahan Teknologi (dipengerusikan Chow Kok Kee dari Malaysia) yang akan mengkaji cara dan langkah untuk meningkatkan kerjasama pembangunan dan perpindahan teknologi, terutama usaha untuk membiayai program seumpama. UK juga mengenal pasti keperluan untuk turut menyenaraikan usaha mengelak penebangan hutan secara besar-besaran pada perjanjian perubahan iklim pada masa depan. Bagi menyokong usaha ini, UK mengumumkan sumbangan 15 juta pound kepada Kemudahan Perkongsian Karbon Hutan, Bank Dunia.

Kami kini berpeluang membuktikan kemampuan dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menangani tindakan demi untuk menjaga kepentingan bersama. Krisis iklim semakin hari semakin serius. Seluruh umat manusia perlu bekerjasama mulai sekarang demi untuk memiliki masa depan yang lebih sihat.

l Penulis ialah Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia.

No comments: