Tuesday, May 13, 2008

8,533 maut gempa skala 7.8 di China

MUSNAH... ahli keluarga para pelajar yang terkorban berkumpul di kawasan runtuhan bangunan Sekolah Menengah Juyuan di Sichuan, barat daya China setelah wilayah itu dilanda gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter,11 Mei 2008.
Seramai 8,533 orang dianggarkan terbunuh dan 10,000 lagi cedera apabila gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter menggegarkan wilayah Sichuan di barat daya China hari ini.

Angka kematian itu dicatat pada pukul 11.30 malam ini (waktu Malaysia). Jumlah itu dijangka terus meningkat. Agensi berita Xinhua melaporkan, hampir 900 pelajar tertimbus di bawah runtuhan sebuah sekolah tinggi tiga tingkat di daerah Juyuan di bandar Dujiangyan di Sichuan.

Gempa bumi itu turut meranapkan dua buah sekolah rendah di daerah Lirang di Chongqing, yang terletak kurang 100 kilometer dari Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan.

Selain di wilayah Sichuan, angka korban juga tinggi di Gansu, Yunnan dan juga Chongqing yang berjiran dengan Sichuan, lapor Xinhua.

Pusat gegaran tertumpu di daerah Wenchuan di Sichuan dan kekuatannya telah menyebabkan bangunan-bangunan tinggi di seluruh China bergoyang.

Gempa bumi itu, yang berlaku pada pukul 2.28 petang (waktu sama di Malaysia), dirasai sejauh ibu negara Thailand, Bangkok yang jaraknya kira-kira 3,300 kilometer ke barat daya China.

Di Bangkok, bangunan-bangunan pejabat dilaporkan bergoyang beberapa minit.

Bangunan di ibu negara Vietnam, Hanoi, juga dilaporkan bergegar.

Perdana Menteri, Wen Jiabao terbang ke Chengdu, sebuah metropolis 10 juta penduduk yang terkenal kerana Pusat Penyelidikan Pembiayaan Panda Gergasi, lapor televisyen kerajaan.

Presiden Hu Jintao pula mengarahkan mangsa yang cedera diselamatkan dengan secepat mungkin, lapor agensi berita Xinhua.

Chengdu terletak kira-kira 2,090 kilometer ke barat daya Beijing.

“Semua bangunan bergoyang,” kata seorang pelajar universiti di bandar Wuhan di tengah negara ini.

Penghuni bangunan berkejar keluar dan sebuah bangunan setingkat roboh, katanya.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, satu gegaran susulan bermagnitud 6.0 berlaku pada 0643 GMT (2.43 petang waktu Malaysia) di sekitar lokasi sama dan satu lagi bermagnitud 5.4 pada 0734 GMT (3.34 petang waktu Malaysia).

Salah sebuah bangunan tertinggi di China, Menara Jinmao di Shanghai, serta beberapa bangunan tinggi lain diarah dikosongkan berikutan gempa bumi dan gegaran susuan.

Para pekerja pejabat di sesetengah bangunan kemudian dibenarkan masuk semula.
“Ada unit pendingin hawa terjatuh dari dinding dan pasu-pasu pecah.

“Pesakit di hospital dipindahkan ke kawasan lapang, bekalan elektrik dan isyarat telefon mudah alih terputus,” kata seorang penduduk di Mianyang, Sichuan.

– Reuters

No comments: