Wednesday, May 28, 2008

Cabaran urus alam sekitar guna ICT

MUNGKIN ada yang tertanya-tanya bagaimana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu meningkatkan kecekapan pengurusan alam sekitar di Malaysia.
Sebenarnya penggunaan ICT dalam pengurusan alam sekitar telah lama digunakan di negara-negara maju. Ia ternyata berkesan dalam mendepani pelbagai masalah alam sekitar yang semakin bertambah.
Pengurusan alam sekitar meliputi pengurusan sumber alam, perlindungan kawasan sensitif alam sekitar, pengawalan pencemaran dan pemantauan kualiti alam sekitar. Dunia hari ini amat memerlukan pengunaan teknologi yang lebih pantas dan mudah untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada masyarakat.
Pembangunan teknologi ICT dalam pengurusan alam sekitar memberi banyak manfaat kepada agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar.
Secara umumnya penggunaan ICT dalam pengurusan alam sekitar di Malaysia semakin rancak dimajukan, namun ia masih ditahap permulaan.
Penggunaan Internet misalnya boleh memudahkan urusan aduan pencemaran alam sekitar kepada agensi yang terlibat dalam penguatkuasaan alam sekitar.
Pengurusan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar di negara ini secara bersepadu perlu dimantapkan. Kawasan sensitif alam sekitar di negara ini yang kaya dengan biodiversiti merupakan warisan alam yang perlu dikekalkan. Penggunaan ICT seperti sistem maklumat geografi (Geographical Information Systems) dapat membantu dalam usaha perlindungan kawasan sensitif alam sekitar di negara ini.
Pemantauan kualiti alam sekitar secara berterusan amat penting bagi melihat sebarang perubahan yang berlaku terhadap kualiti alam sekitar di sesuatu kawasan. Penggunaan ICT adalah amat sesuai bagi memantau dan memberikan maklumat terkini mengenai status kualiti alam sekitar di sesuatu kawasan kepada orang ramai.
Selain itu, pengawasan terhadap punca-punca pencemaran dari kawasan perindustrian dapat dipantau dengan lebih efektif melalui penggunaan ICT.
Isu perubahan cuaca global sejak akhir - akhir ini telah menarik minat masyarakat untuk mengetahui perkembangan cuaca semasa ditempat mereka. Penggunaan ICT dapat memberi maklumat mengenai keadaan cuaca yang bakal berlaku kepada masyarakat. Maklumat melalui Internet di kalangan rakyat khususnya para petani dan nelayan dapat membantu mereka merancang aktiviti harian.
Ramalan mengenai bencana alam yang bakal melanda seperti hujan lebat, banjir dan ribut petir dapat membantu masyarakat untuk menguruskan alam dengan lebih efektif. Usaha-usaha pencegahan bagi mengelak daripada bencana yang memusnahkan harta benda dapat dirancang dengan lebih awal oleh pihak berkuasa. Pengunaan ICT dalam memberi maklumat keadaan cuaca, dapat membantu kerajaan dalam menyediakan langkah - langkah bertindak untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang berlaku. Di samping itu masyarakat dapat sama melakukan persediaan bagi menghadapinya.
Sesungguhnya penggunaan ICT dalam pengurusan alam sekitar mempunyai manfaat yang amat besar. Namun sehingga kini terdapat beberapa halangan yang menyebabkan penggunaanya belum dapat diperluaskan dalam konteks pengurusan alam sekitar. Promosi terhadap kemudahan sesuatu sistem pengurusan alam sekitar dengan menggunakan ICT tidak dilakukan secara meluas. Ini menyebabkan masyarakat kurang terdedah untuk memanfaatkanya. Akhirnya pembangunan sistem itu hanya dimanfaatkan oleh segolongan masyarakat sahaja.
Selain itu pembangunan sistem ICT dalam pengurusan alam sekitar melibatkan kos yang tinggi. Ini menyebabkan pertumbuhan aplikasi ICT dalam pengurusan alam sekitar masih ditahap yang rendah. Di kawasan zon perindustrian pula keupayaan penghantaran maklumat ke server pusat masih tidak memuaskan. Ini kerana data dan maklumat yang dihantar kadang kala mempunyai saiz yang besar, hal ini memberikan gangguan terhadap kelajuan transmisi maklumat ke server pengawasan alam sekitar pusat.
Usaha-usaha untuk meningkatkan kemudahan teknologi ICT dalam pengurusan alam sekitar perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Kekurangan tenaga pakar dalam bidang ini perlu ditampung dengan memperkayakan program pembangunan modal insan dalam bidang ini. Peningkatan tenaga pakar dalam negara boleh mengurangkan pergantungan kita terhadap teknologi daripada luar negara.

Sunday, May 25, 2008

Penggunaan lebih meluas bahan beri kesan buruk

PENYELIDIKAN saintifik mengenai kesan bahan karsinogenik iaitu bahan penyebab barah, terutama plumbum kepada kesihatan sudah lama dilaksanakan beribu tahun dulu iaitu sejak tamadun Rom, Yunani dan China. Ia berikutan wujud situasi di mana berlakunya keracunan plumbum di kalangan masyarakat pada zaman itu disebabkan pendedahan berterusan kepada unsur terbabit. Plumbum mudah didapati, diekstrak dan senang berganding dengan campuran bahan lain. Ia termasuk menjadi bahan tambahan untuk melambatkan proses pembakaran bahan api seperti petrol.
Bagaimanapun, penggunaannya secara meluas memberi kesan tidak elok kepada kesihatan. Ia dibuktikan melalui penemuan saintifik yang masih lagi diteruskan saintis pada hari ini. Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) dan Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat (EPA) menyatakan seseorang itu dikira mengalami keracunan plumbum apabila paras plumbum darah adalah serendah 10 mikrogram bagi setiap 100 mililiter. Kanak-kanak adalah golongan lebih mudah terdedah dengan pengaruh resapan plumbum kerana sistem saraf kanak-kanak masih berkembang hingga dewasa sangat mudah dipengaruhi persekitarannya.
Pada masa sama sistem saraf kanak-kanak masih belum sempurna untuk membaiki sebarang kerosakan disebabkan oleh toksin alam termasuk plumbum dan merkuri. Kajian oleh pelajar sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002 mendapati paras plumbum minimum dalam rambut kanak-kanak di Malaysia adalah jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak di Singapura iaitu 27.28 mikrogram per gram berbanding 2.79 mikrogram per gram. Malah, tidak mustahil kini paras berkenaan sudah meningkat berikutan penggunaan bahan mengandungi kandungan plumbum masih digalakkan. Justeru, pemansuhan petrol berplumbum RON 92 disambut baik demi kepentingan semua khasnya dalam membantu mengurangkan paras plumbum dalam udara.
Pakar perubatan pekerjaan dari Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia (MMA), Dr Nirmal Singh, berkata plumbum adalah sejenis unsur bertoksik yang terbukti boleh memberi impak negatif kepada alam dan kesihatan manusia. Beliau berkata, pembakaran plumbum bersama bahan api seperti petrol dalam kenderaan akan menghasilkan pelbagai bahan yang keluar dari ekzos seperti plumbum oksida, plumbum sulfida dan plumbum karbonat yang akan mencemar udara dan seterusnya meresap ke dalam tanah. "Tidak seperti bahan pencemar lain, plumbum mempunyai jangka hayat yang panjang dalam alam sekitar hingga boleh mengganggu rantaian makanan manusia. "Justeru, apabila ia meresap ke dalam tanah, ia juga akan mencemar sumber air yang akhirnya menjadi sumber makanan manusia, tumbuhan dan haiwan sekali gus boleh menjejas kesihatan mereka," katanya. Katanya, masalah kesihatan lebih serius akan berlaku apabila bahan seperti petrol berplumbum didedahkan secara konsisten kepada manusia. Ia akan masuk ke dalam sistem darah dan seterusnya ke bahagian tulang dan sistem saraf. "Pendedahan jangka panjang kepada unsur itu boleh merosakkan sistem saraf pusat manusia secara kekal. Ia termasuk kegagalan fungsi otak dan gangguan perjalanan darah dan buah pinggang," katanya. Selain itu, katanya, penyakit seperti anemia, masalah kesuburan dan darah tinggi mudah terjadi jika paras plumbum dalam badan meningkat. "Keracunan plumbum bukan saja boleh menyebabkan gangguan mental malah memendekkan jangka hayat manusia," katanya. Dr Nirmal berkata, kanak-kanak adalah kumpulan paling mudah dipengaruhi berbanding orang dewasa yang antara lain menyebabkan kegagalan fungsi kognitif kanak-kanak iaitu kegagalan minda untuk berfikir, mengingati dan memproses maklumat dengan tepat. Beliau berkata, kadangkala pesakit tidak menyedari bahawa mereka mengalami gejala keracunan plumbum ini. "Bagaimanapun, antara tanda-tanda yang sering berlaku ialah rasa loya, sakit perut, insomnia, mulut mempunyai rasa logam, kelesuan melampau dan hiperaktif; sakit kepala serta paling serius adalah serangan sakit secara tiba-tiba dan koma. Pesakit yang terkena keracunan plumbum sukar dipulihkan. "Proses penyingkiran plumbum dalam badan mengambil masa lama iaitu sehingga berpuluh tahun dan jika ia serius, rawatan penyingkiran khas yang dipanggil terapi 'chelation' akan dilakukan terhadap pesakit," katanya.

Tuesday, May 13, 2008

8,533 maut gempa skala 7.8 di China

MUSNAH... ahli keluarga para pelajar yang terkorban berkumpul di kawasan runtuhan bangunan Sekolah Menengah Juyuan di Sichuan, barat daya China setelah wilayah itu dilanda gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter,11 Mei 2008.
Seramai 8,533 orang dianggarkan terbunuh dan 10,000 lagi cedera apabila gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter menggegarkan wilayah Sichuan di barat daya China hari ini.

Angka kematian itu dicatat pada pukul 11.30 malam ini (waktu Malaysia). Jumlah itu dijangka terus meningkat. Agensi berita Xinhua melaporkan, hampir 900 pelajar tertimbus di bawah runtuhan sebuah sekolah tinggi tiga tingkat di daerah Juyuan di bandar Dujiangyan di Sichuan.

Gempa bumi itu turut meranapkan dua buah sekolah rendah di daerah Lirang di Chongqing, yang terletak kurang 100 kilometer dari Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan.

Selain di wilayah Sichuan, angka korban juga tinggi di Gansu, Yunnan dan juga Chongqing yang berjiran dengan Sichuan, lapor Xinhua.

Pusat gegaran tertumpu di daerah Wenchuan di Sichuan dan kekuatannya telah menyebabkan bangunan-bangunan tinggi di seluruh China bergoyang.

Gempa bumi itu, yang berlaku pada pukul 2.28 petang (waktu sama di Malaysia), dirasai sejauh ibu negara Thailand, Bangkok yang jaraknya kira-kira 3,300 kilometer ke barat daya China.

Di Bangkok, bangunan-bangunan pejabat dilaporkan bergoyang beberapa minit.

Bangunan di ibu negara Vietnam, Hanoi, juga dilaporkan bergegar.

Perdana Menteri, Wen Jiabao terbang ke Chengdu, sebuah metropolis 10 juta penduduk yang terkenal kerana Pusat Penyelidikan Pembiayaan Panda Gergasi, lapor televisyen kerajaan.

Presiden Hu Jintao pula mengarahkan mangsa yang cedera diselamatkan dengan secepat mungkin, lapor agensi berita Xinhua.

Chengdu terletak kira-kira 2,090 kilometer ke barat daya Beijing.

“Semua bangunan bergoyang,” kata seorang pelajar universiti di bandar Wuhan di tengah negara ini.

Penghuni bangunan berkejar keluar dan sebuah bangunan setingkat roboh, katanya.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, satu gegaran susulan bermagnitud 6.0 berlaku pada 0643 GMT (2.43 petang waktu Malaysia) di sekitar lokasi sama dan satu lagi bermagnitud 5.4 pada 0734 GMT (3.34 petang waktu Malaysia).

Salah sebuah bangunan tertinggi di China, Menara Jinmao di Shanghai, serta beberapa bangunan tinggi lain diarah dikosongkan berikutan gempa bumi dan gegaran susuan.

Para pekerja pejabat di sesetengah bangunan kemudian dibenarkan masuk semula.
“Ada unit pendingin hawa terjatuh dari dinding dan pasu-pasu pecah.

“Pesakit di hospital dipindahkan ke kawasan lapang, bekalan elektrik dan isyarat telefon mudah alih terputus,” kata seorang penduduk di Mianyang, Sichuan.

– Reuters

Wednesday, May 7, 2008

Krisis akibat perubahan iklim semakin ketara

BULAN lalu, Suruhanjaya Tinggi British dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, mengadakan kerjasama kedua dalam tempoh enam bulan untuk melihat susulan perjalanan yang bakal ditempuh Malaysia selepas Persidangan Perubahan Iklim di Bali, Disember lalu. Satu hakikat yang diterima semua pihak di Bali dan menjadi tumpuan utama forum ialah di mana saja kita tinggal, semiskin atau sekaya mana kita pun, sebagai manusia - setiap seorang daripada kita akan menerima kesan daripada perubahan iklim ini.

Dalam erti kata lain, perubahan iklim adalah kemuncak ekspresi dalam kehidupan kita sebagai manusia yang saling bergantung. Lebih penting, tidak ada seorangpun boleh meluahkan perkataan: “Kita tidak boleh melakukan apa-apa kerana orang lain tidak bersedia untuk mengambil langkah pertama”.

Sikap menuding jari dan kelakuan ‘(kita akan ambil tindakan) selepas anda’ - akan memusnahkan kita semua. Setiap manusia perlu mengambil langkah pertama, yang mesti meliputi:

l Usaha mengurangkan pengeluaran gas global daripada tahap yang dicatat pada 1990; l Komitmen lebih serius daripada negara membangun;

l Mewujudkan satu pasaran global karbon, dengan meletakkan ‘harga tinggi’ kepada persekitaran yang buruk. Ini sekali gus menggalakkan manusia untuk melabur ke arah persekitaran yang lebih sihat;
l Perjanjian lebih adil ke atas perpindahan teknologi;
l Elakkan penebangan hutan secara besar-besaran;
l Sesuaikan pembangunan dengan persekitaran lebih sihat;
l Gandingan tenaga serta kewangan ke arah pembangunan lebih mesra alam;
l Satu perjanjian yang membabitkan seluruh negara dunia dan semua jenis pengeluaran gas; dan l Tanggungjawab sepenuhnya semua pihak untuk meleraikan kemelut yang semakin serius.

Keputusan penting selepas ini membabitkan rundingan dunia untuk menangani perubahan iklim ini akan diadakan di Copenhagaen (Denmark), pada Disember tahun depan. Usaha untuk mencapai semua perkara di atas, perlu dijadikan tanggungjawab seluruh umat manusia dalam tempoh dua tahun akan datang. Usaha melaksanakan semua tindakan ini mungkin lebih sukar daripada difikirkan. Lord Sterb, penulis jurnal Review mengenai kesan perubahan iklim ke atas ekonomi global, menegaskan bahawa penulisannya dalam jurnal itu sebenarnya tidak menggambarkan wajah sebenarnya skala krisis yang akan dihadapi manusia.

Bagaimanapun, kita tidak mampu untuk berasa lemah semangat, Sebaliknya, kita perlu bertanya apa yang akan dilakukan negara seperti United Kingdom untuk menghadapi cabaran ini terutama dalam ekonomi domestiknya?

Saya akan cuba memberi tumpuan kepada tiga perkara utama:
l Komitmen UK kini berada di landasan yang melampaui (hampir dua kali ganda) daripada yang digaris Protokol Kyoto;
l Kami mewujudkan cabaran lebih serius untuk mencapai matlamat domestik - mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sehingga 60 peratus di bawah kadar pada 1999, menjelang 2050; dan
l Kami telah mengenal pasti keperluan untuk bergerak lebih jauh. Kerana itu Kerajaan UK membentangkan Rang Undang-undang Perubahan Iklim, yang akan memastikan Kerajaan British pada masa depan terikat secara perundangan untuk memenuhi sasaran domestik yang ditetapkan. Malaysia juga menghadapi cabaran tersendiri dalam menangani isu keselamatan iklim ini.

Hakikatnya ialah apa yang bakal berlaku di Malaysia, serta di kawasan lebih luas di Asia Tenggara, menjadi faktor amat penting kepada keselamatan iklim kepada kita semua. Kerana itu, saya amat mengalu-alukan sebarang tindakan Malaysia untuk menggubal dasar membabitkan perubahan iklim ini merentas semua kerajaan Asean.

Saya juga mengalu-alukan pembabitan lebih ramai masyarakat umum dan golongan perdagangan dalam agenda perubahan iklim di negara ini. Kami di UK, mengalami banyak pengalaman dalam perkara ini dan tidak menghadapi masalah untuk berkongsi pengalaman dengan Malaysia.

Melihat kepada agenda perubahan iklim antarabangsa, saya percaya Persidangan Bali menggariskan proses rundingan yang komprehensif, yang turut mengenal pasti negara membangun seperti Malaysia sebagai kunci utama dalam beberapa bidang, seperti perpindahan teknologi dan akses sumber kewangan.

UK juga mengalu-alukan keputusan di Bali untuk melancarkan program kerja di bawah Kumpulan Pakar UNFCCC membabitkan Perpindahan Teknologi (dipengerusikan Chow Kok Kee dari Malaysia) yang akan mengkaji cara dan langkah untuk meningkatkan kerjasama pembangunan dan perpindahan teknologi, terutama usaha untuk membiayai program seumpama. UK juga mengenal pasti keperluan untuk turut menyenaraikan usaha mengelak penebangan hutan secara besar-besaran pada perjanjian perubahan iklim pada masa depan. Bagi menyokong usaha ini, UK mengumumkan sumbangan 15 juta pound kepada Kemudahan Perkongsian Karbon Hutan, Bank Dunia.

Kami kini berpeluang membuktikan kemampuan dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menangani tindakan demi untuk menjaga kepentingan bersama. Krisis iklim semakin hari semakin serius. Seluruh umat manusia perlu bekerjasama mulai sekarang demi untuk memiliki masa depan yang lebih sihat.

l Penulis ialah Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia.