PADA 7 hingga 18 Disember nanti tumpuan dunia adalah kepada Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (COP15) yang akan berlangsung Copenhagen, Denmark. Pada persidangan ini, negara di dunia akan cuba berunding dan mendapatkan persetujuan mengenai komitmen negara kaya dan negara membangun mengenai had pembebasan gas karbon dioksida (CO2) dalam mengawal perubahan iklim masa depan dan juga komitmen bantuan dana negara maju terhadap negara membangun dalam mengurangkan pembebasan CO2.
Beberapa persidangan berlangsung sebagai persediaan atau pemanas kepada persidangan di Copenhagen ini. Satu daripadanya ialah Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Perubahan Iklim di New York pada 22 September lalu di mana ketua negara seperti Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden China, Hu Jintao masing-masing menyuarakan komitmen mereka dalam menstabilkan iklim dunia. Bagaimanapun harapan sesuatu yang konkrit akan dicapai di Copenhagen semakin cair. Pada Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Singapura baru-baru ini ketua negara bersetuju sesuatu perjanjian yang konkrit di Copenhagen mungkin tidak dapat dicapai.
Perkembangan ini sememangnya berita buruk kepada iklim dunia yang memerlukan komitmen negara pembebas utama gas CO2 seperti Amerika Syarikat dan China. Bagaimanapun, kita tunggu dan lihat hasil persidangan ini nanti. Laporan Penilaian ke-4 Perubahan Iklim oleh Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) yang dikeluarkan pada 2007 menyebut bahawa perubahan iklim dunia adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi.
Peningkatan suhu dunia sejak 50 tahun lalu adalah disebabkan oleh peningkatan kepekatan gas rumah hijau terutama akibat penggunaan bahan api fosil sejak era perindustrian bermula lebih 100 tahun lalu.
Ramai mungkin bertanya mengapa perubahan iklim buatan manusia ini perlu dibimbangi dan dihentikan sedangkan fakta sains menunjukkan iklim dunia memang berayun dari tempoh glasial kepada antiglasial secara semula jadi. Ayunan ini adalah disebabkan perubahan orbit bumi mengelilingi matahari dan mengambil masa dalam lebih kurang 100,000 tahun sekali. Perubahan iklim buatan manusia atau antropogenik ini pula berlaku begitu cepat di mana dalam masa 100 tahun iklim dunia berubah begitu cepat dan dalam masa 100 tahun lagi bumi akan melalui satu sejarah iklim yang ia tidak pernah lalui sejak sejuta tahun lalu sekiranya pembebasan CO2 tidak dikurangkan dan distabilkan.
Data ‘teras ais’ yang digerudi sedalam empat kilometer di Vostok, Antartika dapat memberikan maklumat ayunan suhu dan kepekatan gas CO2 dan metana (CH4) sejak lebih 600,000 tahun lalu. Sepanjang tempoh ini ayunan glasial dan antiglasial ini jelas ditunjukkan seiring dengan peningkatan dan penurunan suhu dunia dan juga kepekatan CO2 dan CH4. Yang menariknya sepanjang tempoh lebih setengah juta tahun ini kepekatan CO2 berlegar sekitar nilai maksimum lebih kurang 300 bahagian persejuta (ppm) ketika tempoh antiglasial dan nilai minum 200 ppm ketika tempoh glasial. Tetapi kepekatan CO2 kini mencecah 400 ppm dan dijangkakan pada 2050 nanti kepekatan ini mencapai antara 500-600 ppm.
Gas rumah hijau seperti CO2, CH4 sememangnya secara semula jadi sebahagian daripada gas penting di atmosfera dalam mencorakkan iklim dunia. Fungsi utamanya adalah memerangkap haba yang dibebaskan oleh bumi daripada terlepas ke angkasa lepas dan menjadi bumi ini suhu tinggi dan sesuai untuk kita huni. Tanpa mekansime perangkap haba ini, bumi sebenarnya jauh lebih sejuk dan tidak sesuai dihuni oleh pelbagai makhluk hidup termasuk kita. Bagaimanapun peningkatan kepekatan gas ini di luar julat semula jadi memerangkap haba berlebihan dan meningkatkan suhu dunia dan menjelmakan fenomena yang kita sering sebut sebagai pemanasan global.
Mengapa pemanasan global berterusan sesuatu yang perlu dihentikan. Kebanyakan haba yang diserap oleh sistem iklim dunia diserap oleh lautan. Peningkatan suhu lautan akan merubah corak iklim dan cuaca dunia, merubah corak cuaca ekstrem seperti kejadian banjir, ribut, kemarau dan sebagainya. Perubahan ini akan membawa pelbagai impak kepada tamadun manusia dan persekitaran dan ekosistem di mana kehidupan manusia banyak bergantung. Pemanasan global akan mencairkan ais di Kutub Utara dan Selatan dan akan menenggelamkan kawasan yang rendah.
Peningkatan suhu dengan fenomena cuaca ekstrem seperti kemarau dan banjir dan juga penenggelaman kawasan delta yang subur akan mengurangkan keupayaan manusia meningkatkan pengeluaran makanan. Dijangkakan pada 2050 nanti penduduk dunia akan meningkat kepada 10 bilion iaitu peningkatan lebih tiga bilion dari populasi sekarang, malapetaka kebuluran akan menunggu manusia jika perubahan iklim tidak ditangani.
Peningkatan suhu yang melebihi 40 darjah Celsius akan menjadikan banyak tanaman masa ini tidak dapat hidup sesuai dalam suhu yang panas seperti itu.
Di sesetengah rantau kemarau menjadi semakin teruk dan menjadikan kawasan berkenaan tidak lagi sesuai untuk didiami dan akan berlaku transmigrasi akibat perubahan iklim dan ini akan menjadi punca konflik dunia pada masa akan datang.
Prof Dr Fredolin Tangang @ Tajudin Mahmud ialah Ketua, Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (Ikilm) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 IPCC.
Monday, November 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment