Monday, November 23, 2009

Pemanasan global perlu ditangani untuk kehidupan pada masa depan

PADA 7 hingga 18 Disember nanti tumpuan dunia adalah kepada Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (COP15) yang akan berlangsung Copenhagen, Denmark. Pada persidangan ini, negara di dunia akan cuba berunding dan mendapatkan persetujuan mengenai komitmen negara kaya dan negara membangun mengenai had pembebasan gas karbon dioksida (CO2) dalam mengawal perubahan iklim masa depan dan juga komitmen bantuan dana negara maju terhadap negara membangun dalam mengurangkan pembebasan CO2.

Beberapa persidangan berlangsung sebagai persediaan atau pemanas kepada persidangan di Copenhagen ini. Satu daripadanya ialah Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Perubahan Iklim di New York pada 22 September lalu di mana ketua negara seperti Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden China, Hu Jintao masing-masing menyuarakan komitmen mereka dalam menstabilkan iklim dunia. Bagaimanapun harapan sesuatu yang konkrit akan dicapai di Copenhagen semakin cair. Pada Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Singapura baru-baru ini ketua negara bersetuju sesuatu perjanjian yang konkrit di Copenhagen mungkin tidak dapat dicapai.

Perkembangan ini sememangnya berita buruk kepada iklim dunia yang memerlukan komitmen negara pembebas utama gas CO2 seperti Amerika Syarikat dan China. Bagaimanapun, kita tunggu dan lihat hasil persidangan ini nanti. Laporan Penilaian ke-4 Perubahan Iklim oleh Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) yang dikeluarkan pada 2007 menyebut bahawa perubahan iklim dunia adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi.




Peningkatan suhu dunia sejak 50 tahun lalu adalah disebabkan oleh peningkatan kepekatan gas rumah hijau terutama akibat penggunaan bahan api fosil sejak era perindustrian bermula lebih 100 tahun lalu.

Ramai mungkin bertanya mengapa perubahan iklim buatan manusia ini perlu dibimbangi dan dihentikan sedangkan fakta sains menunjukkan iklim dunia memang berayun dari tempoh glasial kepada antiglasial secara semula jadi. Ayunan ini adalah disebabkan perubahan orbit bumi mengelilingi matahari dan mengambil masa dalam lebih kurang 100,000 tahun sekali. Perubahan iklim buatan manusia atau antropogenik ini pula berlaku begitu cepat di mana dalam masa 100 tahun iklim dunia berubah begitu cepat dan dalam masa 100 tahun lagi bumi akan melalui satu sejarah iklim yang ia tidak pernah lalui sejak sejuta tahun lalu sekiranya pembebasan CO2 tidak dikurangkan dan distabilkan.

Data ‘teras ais’ yang digerudi sedalam empat kilometer di Vostok, Antartika dapat memberikan maklumat ayunan suhu dan kepekatan gas CO2 dan metana (CH4) sejak lebih 600,000 tahun lalu. Sepanjang tempoh ini ayunan glasial dan antiglasial ini jelas ditunjukkan seiring dengan peningkatan dan penurunan suhu dunia dan juga kepekatan CO2 dan CH4. Yang menariknya sepanjang tempoh lebih setengah juta tahun ini kepekatan CO2 berlegar sekitar nilai maksimum lebih kurang 300 bahagian persejuta (ppm) ketika tempoh antiglasial dan nilai minum 200 ppm ketika tempoh glasial. Tetapi kepekatan CO2 kini mencecah 400 ppm dan dijangkakan pada 2050 nanti kepekatan ini mencapai antara 500-600 ppm.

Gas rumah hijau seperti CO2, CH4 sememangnya secara semula jadi sebahagian daripada gas penting di atmosfera dalam mencorakkan iklim dunia. Fungsi utamanya adalah memerangkap haba yang dibebaskan oleh bumi daripada terlepas ke angkasa lepas dan menjadi bumi ini suhu tinggi dan sesuai untuk kita huni. Tanpa mekansime perangkap haba ini, bumi sebenarnya jauh lebih sejuk dan tidak sesuai dihuni oleh pelbagai makhluk hidup termasuk kita. Bagaimanapun peningkatan kepekatan gas ini di luar julat semula jadi memerangkap haba berlebihan dan meningkatkan suhu dunia dan menjelmakan fenomena yang kita sering sebut sebagai pemanasan global.

Mengapa pemanasan global berterusan sesuatu yang perlu dihentikan. Kebanyakan haba yang diserap oleh sistem iklim dunia diserap oleh lautan. Peningkatan suhu lautan akan merubah corak iklim dan cuaca dunia, merubah corak cuaca ekstrem seperti kejadian banjir, ribut, kemarau dan sebagainya. Perubahan ini akan membawa pelbagai impak kepada tamadun manusia dan persekitaran dan ekosistem di mana kehidupan manusia banyak bergantung. Pemanasan global akan mencairkan ais di Kutub Utara dan Selatan dan akan menenggelamkan kawasan yang rendah.

Peningkatan suhu dengan fenomena cuaca ekstrem seperti kemarau dan banjir dan juga penenggelaman kawasan delta yang subur akan mengurangkan keupayaan manusia meningkatkan pengeluaran makanan. Dijangkakan pada 2050 nanti penduduk dunia akan meningkat kepada 10 bilion iaitu peningkatan lebih tiga bilion dari populasi sekarang, malapetaka kebuluran akan menunggu manusia jika perubahan iklim tidak ditangani.

Peningkatan suhu yang melebihi 40 darjah Celsius akan menjadikan banyak tanaman masa ini tidak dapat hidup sesuai dalam suhu yang panas seperti itu.

Di sesetengah rantau kemarau menjadi semakin teruk dan menjadikan kawasan berkenaan tidak lagi sesuai untuk didiami dan akan berlaku transmigrasi akibat perubahan iklim dan ini akan menjadi punca konflik dunia pada masa akan datang.



Prof Dr Fredolin Tangang @ Tajudin Mahmud ialah Ketua, Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (Ikilm) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 IPCC.

Wednesday, November 18, 2009

Teknologi jana kuasa tenaga angin mikro alternatif baru

DI sebalik usaha kerajaan menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan bekalan elektrik di seluruh negara, masih ada beberapa kawasan yang tidak memiliki kemudahan asas itu kerana tidak boleh diakses oleh grid bekalan elektrik biasa.

Antara kawasan itu ialah pedalaman Sabah dan Sarawak serta kira-kira 50 pulau di seluruh negara hingga penduduknya berasa seolah-olah disisihkan kerana tidak menikmati kemudahan asas itu yang dianggap sesetengah mereka lebih penting daripada bekalan air kerana ia disifatkan sebagai lambang kemewahan.

Bagaimanapun, usaha kerajaan memastikan kawasan berkenaan menikmati kemudahan itu, kini boleh diatasi dengan penggunaan angin untuk tujuan penjanaan tenaga elektrik, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap minyak selain gas dan arang batu sebagai bahan bakar.



Walaupun ada pihak berpendapat kaedah penggunaan angin untuk tujuan penjanaan tenaga tidak sesuai di negara ini berbanding Eropah dan Amerika Syarikat yang mempunyai banyak angin dan regim lintasan angin ketara, teknologi jana kuasa tenaga angin mikro yang diperkenalkan oleh syarikat Jepun, Global Energy, masalah itu boleh diatasi.

Menyedari potensi tinggi teknologi itu, syarikat pegangan pelaburan dikuasai oleh Bumiputera, Emax Integrate Sdn Bhd (Emax) yang menjalankan aktiviti perniagaan berasaskan teknologi hijau dan membran yang berasal dari Jepun dan Korea Selatan memeterai perjanjian pembelian harta intelek dan pemindahan teknologi itu di Seoul, Korea Selatan, 11 November lalu.

Perjanjian itu dimeterai antara Emax dengan Global Energy dan Anyteksys dari Korea Selatan bernilai RM10 juta.

Global Energy ialah syarikat berasaskan pembangunan dan penyelidikan (R&D) berkaitan jana kuasa angin mikro dan kapal terbang serta kipas kapal, manakala Anyteksys adalah syarikat peneraju teknologi sel bahan api di Korea.

Menerusi perjanjian itu, Emax mendapat hak mengeluarkan komponen utama teknologi itu di Malaysia dan boleh mengeksportnya ke luar negara. Di samping itu, Emax juga boleh menambah baik reka bentuk yang sedia ada atau menghasilkan reka bentuk baru dengan menggunakan teknologi yang sama.

Reka bentuk yang baru itu akan didaftarkan sebagai harta intelek syarikat. Dalam perancangan terdekat, turbin angin dengan kapasiti 10,000 watt akan didaftar dan dikeluarkan di negara ini. Begitu juga reka bentuk untuk ladang angin (wind farm) iaitu himpunan beberapa turbin angin dalam satu kawasan bagi menjana elektrik yang lebih banyak.

Ketua Pegawai Eksekutif Emax, Mohd Azmi Mohd Razalli, berkata antara kelebihan teknologi jana kuasa tenaga angin mikro itu ialah ia boleh beroperasi pada kadar kelajuan angin yang rendah berbanding teknologi yang ada di pasaran pada masa ini.

"Terdapat dua jenis turbin angin dikeluarkan iaitu menggunakan jenis bilah kipas iaitu menegak dan mendatar dengan jenis bilah menegak dengan rotor diameter 2,000 milimeter (mm) boleh menjana tenaga 3,000 Watt maksimum dengan kelajuan angin empat meter sesaat.

"Manakala teknologi yang menggunakan lima bilah kipas mendatar dengan rotor diameter 1,500 mm mampu menjana 2,000 Watt maksimum dengan kelajuan angin empat meter sesaat," katanya.

Mohd Azmi berkata, antara kelebihan lain teknologi jana kuasa itu berbanding teknologi sedia ada ialah angin boleh datang dari mana-mana arah, selain putaran kipasnya lebih senyap dengan menggunakan bilah yang diperbuat daripada gentian plastik yang diperkuatkan.

Dari segi kesan terhadap alam sekitar, katanya, penggunaan angin untuk menjana tenaga elektrik memang tidak mencemarkan persekitaran kerana ia tidak mengeluarkan sebarang gas pencemar udara seperti penjanaan tenaga elektrik yang menggunakan sumber minyak atau fosil.

"Kebanyakan negara Eropah dan Amerika Syarikat, termasuk negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan kini sudah banyak menggunakan teknologi angin sebagai tenaga alternatif dan semakin maju berikutan kenaikan harga minyak di pasaran, selain bertujuan memelihara alam sekitar," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan melaksanakan projek perintis penggunaan teknologi jana kuasa itu di Pulau Larapan, Semporna, Sabah, pada 15 Disember ini dengan kerja pemasangan komponennya sedang rancak dijalankan.

"Menerusi projek perintis itu, kita akan dapat membekalkan elektrik di pulau berkenaan dengan permulaan untuk keperluan surau dan balai budaya," katanya.