Wednesday, January 30, 2008

MENIKMATI pemandangan indah Lembah Danum di titi gantung Borneo Rainforest Lodge setinggi 40 meter
PENGINAPAN dalam rimba menjanjikan ketenangan

Suara unggas menceriakan perjalanan merentasi titi gantung
MELANGKAH atas titi gantung sepanjang 100 meter di atas pokok yang mencecah ketinggian 40 meter di hutan Lembah Danum, Lahad Datu menjanjikan pengalaman indah biar pun terasa gayat. Pada jarak 50 meter pertama, titi yang merentangi Sungai Danum itu setinggi 35 meter dan meningkat kepada 40 meter pada laluan 50 meter kedua yang merentangi Hutan Simpan Ulu Segama Malua.
Di pertengahan laluan, pengunjung terpaksa mendaki pokok balak dianggarkan berusia lebih 100 tahun yang dilengkapi tangga besi setinggi lima meter, sebelum perjalanan di atas titi diteruskan. Kehijauan alam semula jadi dipenuhi panorama rimba dan sungai memberi ketenangan dan dengan sendirinya mengurangkan rasa gayat. Suara unggas, termasuk burung bekia (bulwer's pheasant), rusa dan Orang Utan menambah keceriaan perjalanan di atas titi, biar pun kelibat haiwan berkenaan tidak kelihatan.
Pegawai Program Biologi Lapangan (Orang Utan, Badak dan Gajah) Tabung Hidupan Liar (WWF-Malaysia), Lee Shan Khee mengesahkan ia adalah suara haiwan berkenaan.
Pengembaraan di atas titi mengambil masa antara 10 hingga 15 minit, tidak termasuk kegiatan merakamkan gambar keindahan alam semula jadi persekitaran destinasi menawan itu. Pengunjung tidak perlu bimbang ketika melangkah di atas titi itu kerana ia menepati ciri keselamatan ditetapkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah. Kira-kira 20 kilometer dari titi berkenaan ada Pusat Maklumat Alam Semula Jadi dan Pendidikan Alam Sekitar Shell Malaysia.

Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai flora dan fauna Hutan Simpan Ulu Segama Malua, termasuk spesies Badak Sumatera yang berhadapan dengan kepupusan yang menjadikan hutan berkenaan sebagai habitatnya.
Perjalanan di atas titi dan pusat maklumat berkenaan adalah sebahagian daripada pakej pelancongan disediakan Borneo Rainforest Lodge (BRL) Lembah Danum milik Kumpulan Yayasan Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). BRL Lembah Danum menyediakan penginapan dalam rimba yang menjanjikan ketenangan kepada pengunjung, termasuk mereka yang memilih untuk meniti di atas titian berkenaan.
Bagaimanapun, setiap kediaman eksklusif yang pernah memenangi `Anugerah Destinasi Pelancongan Baru Asia' pada 1996 itu hanya sesuai didiami dua pengunjung pada satu masa. Reka bentuk fizikal kediaman itu mirip rumah kampung pada struktur luar tetapi di dalamnya sama seperti kemudahan hotel mewah.
Penulis bernasib baik kerana sempat memerhatikan seekor ibu burung bekia bersama tiga anaknya di sekitar kediaman itu, selain seekor rusa dan kucing hutan (cibet) tetapi gagal merakamkan hidupan liar berkenaan. Pengunjung boleh memilih mandi air dingin dari sumber air mineral Sungai Danum atau air panas selepas mengembara di atas titi gantung atau berkunjung ke Pusat Maklumat Alam Semula jadi dan Alam Sekitar.
Lembah Danum bukan saja menjadi habitat semula jadi hidupan liar hampir pupus, malah menyediakan pakej berjalan di atas pokok yang pasti meninggalkan nostalgia indah yang sukar dilupakan.
FAKTA

Hutan Simpan Ulu Segama Malua yang menempatkan BRL Lembah Danum adalah hutan simpan kerajaan negeri berstatus Kelas Satu yang dilindungi daripada kegiatan pembalakan.
Lembah Danum dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu mempunyai keluasan 43,000 hektar. Ia menjadi habitat semulajadi lima hingga tujuh ekor badak Sumatera dan ada 12 kubang haiwan liar itu di situ.

Ada 22 unit perangkap video dan kamera dipasang di sekitar Lembah Danum untuk merakam pergerakan badak Sumatera untuk melindungi dan mempertahankan habitat semulajadinya.
Dianggarkan badak Sumatera yang mendiami Lembah Danum dan hutan lain di Sabah akan pupus dalam tempoh lima tahun akan datang jika tiada langkah menyelamat dan melindunginya. Bagaimana ke sana?

Pengunjung boleh menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Tawau, seterusnya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Lembah Danum, Lahad Datu pada jarak 228 kilometer (km).

Ada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Lahad Datu menggunakan pesawat Fokker MasWing atau dari KKIA ke Lapangan Terbang Tawau.

Bagi mereka yang memilih menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Kota Kinabalu, perjalanan sejauh 500 kilometer mengambil masa kira-kira 10 jam.

Laluan sejauh 77 kilometer dari persimpangan Jalan Lahad Datu-Tawau-Kota Kinabalu ke BRL adalah batu kelikir dan jalan balak.

Bagi mereka yang menggunakan kenderaan persendirian, kebenaran memasuki BRL Lembah Danum boleh diperoleh di Pejabat Daerah Lahad Datu.

Thursday, January 24, 2008

Peluang besar dalam perusahaan nurseri flora

TUJUH tahun menimba pengalaman bersama majikan berbangsa asing dalam bidang bunga dan landskap menjadikan Abdul Halim Ali, 35, pengusaha nurseri flora dari Masjid Tanah, Melaka nekad membuka perniagaannya sendiri dalam bidang berkenaan. Nurseri yang diberi nama Flora GDW Seri Mastana yang mula dibuka sejak April tahun lalu adalah satu-satunya nurseri yang menjanjikan kelainan kerana menampilkan tumbuhan spesies eksotik yang jarang ditemui di negara ini. Nurseri yang terletak bersebelahan Pusat Gunasama Persatuan Ibu Tunggal Seri Mastana (PITSM) di Masjid Tanah itu sentiasa dikunjungi penggemar dan pencinta flora bagi mendapatkan pelbagai spesies bunga, tumbuhan liar, herba serta tanaman hiasan.
Tumbuhan eksotik seperti spesies ‘helicornia’ atau sepit udang dari Papua New Guinea dan benua Amerika adalah pokok hiasan bersaiz tiga hingga lima meter yang paling banyak dibiakkan dengan teknik semaian ada di Flora GDW Seri Mastana. Ia mempunyai kuntuman bunga pelbagai warna termasuk memiliki daya tarikan daun berwarna-warni. Selain itu, pokok landskap seperti maniltoa, saraka, pokok buah, tumbuhan liar seperti pokok lokan, pokok putat, paku-pakis serta orkid hutan cukup untuk menarik ramai peminat flora bertandang ke situ, sekali gus menjadikan nurseri terbabit berbeza daripada nurseri lain di daerah ini. Tidak dipinggirkan, tumbuhan herba seperti kacip fatimah, tongkat ali, gaharu, mas cotek, ginseng Malaysia dan tumbuhan rempah ratus seperti cengkih, kayu manis, pokok pala, serai wangi dan pokok ‘golden chain’ atau rantai emas juga boleh diperoleh dengan mudah di nurseri berkenaan.
Menyingkap pembabitan awalnya dalam industri itu, Abdul Halim berkata, beliau mengeluarkan modal RM30,000 untuk mewujudkan sebuah kawasan tapak semaian di Kelemak, Alor Gajah dan kemudian berjaya menghasilkan sebanyak 18,000 anak pokok pelbagai tumbuhan. Menyedari minatnya yang mendalam dalam seni landskap dan dekorasi, Abdul Halim kemudian mengorak langkah setapak lagi apabila ditawarkan untuk membuka nurseri di atas sebidang tanah lot milik PITSM yang diusahakan bersama dengan konsep keuntungan 70-30. Selain itu, bantuan sebuah rumah bunga yang diberikan Jabatan Pertanian Melaka dianggap satu rahmat kerana ia boleh menempatkan kira-kira 5,000 tumbuhan dan bunga-bungaan dengan lebih selamat daripada sebarang cuaca yang tidak dijangka. Dianggarkan, sehingga kini ada lebih 500 jenis tumbuhan, bunga dan kaktus berasal dari Tanah Tinggi Cameron menjadi koleksi menarik untuk dijual di nurseri berkenaan.
Harga tumbuhan yang dijual adalah berpatutan dan berdasarkan harga pasaran iaitu bermula serendah RM2 hingga RM50 mengikut jenis tumbuhan. Abdul Halim berkata, nurseri yang diusahakannya itu dibuka setiap hari bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam, manakala cabaran utama yang dihadapinya ialah untuk menanam pokok eksotik kerana beliau terpaksa berdepan faktor cuaca dan serangan serangga perosak. Malah, beliau juga terpaksa memberi perhatian secukupnya kepada sesetengah tumbuhan seperti helicornia memerlukan cuaca panas jika mahu bunga yang dikeluarkan kelihatan cantik. “Walaupun belum mencapai usia setahun mengusahakan nurseri, saya mampu berbangga kerana baru-baru ini nurseri ini berjaya membekalkan sejumlah 5,000 pokok 'golden chain' kepada kerajaan negeri untuk ditanam di sepanjang Sungai Melaka, sebagai penyeri kawasan lantaran keunikan pada bentuk daun dan bunganya. “Hasil titik peluh yang diusahakan bersama keluarga terutama ibu saya, Zainab Abdullah, 57, yang juga ahli PITSM, kini memberi pulangan besar apabila mampu memperoleh pendapatan mencecah RM10,000 sebulan, sekali gus mengubah kehidupan kami sekeluarga,” katanya. Abdul Halim juga yakin bidang yang diusahakannya itu mampu memberikan satu kelainan dan keceriaan kepada sesebuah taman selain menghidupkan lagi suasana sesebuah kediaman. Katanya, pelanggan yang membeli tanaman di nurseri itu akan diberikan tip dan kaedah serta teknik penjagaan tumbuhan itu. Malah, pembeli juga boleh mendapatkan bekalan pasu dan baja organik dalam bentuk cecair atau baja campuran. Di samping itu, mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan landskap dan bekalan anak benih bunga untuk ditanam sendiri yang dibekalkan di nurseri berkenaan. “Dengan menyahut seruan kerajaan bahawa pertanian adalah satu perniagaan, saya percaya sektor pertanian kini berpotensi besar dan boleh dijadikan sumber pendapatan menguntungkan jika diusahakan secara meluas dan komersial sebagai perniagaan yang bersifat intensif dan berdaya saing,” katanya. Usaha pengusaha muda itu tidak terhenti setakat itu saja kerana Abdul Halim kini bercadang untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan tumbuhan eksotik pada masa akan datang.

Manusia semakin merosakkan alam

MANUSIA merubah alam lingkungannya. Perkara ini sudah dilakukan sejak manusia dicipta Allah s.w.t. lebih sejuta tahun lalu. Tahap demi tahap hidup, manusia sering merubah alam ini hingga memudarat dirinya sendiri. Perbuatan merosak alam oleh manusia sering dilakukan.
Jumlah penduduk dunia yang lebih daripada enam bilion, mempunyai kesanggupan membuat kemusnahan hampir tidak dapat diterima alam.
Dulu manusia cuma hidup mengumpul tanaman yang sedia ada, berburu binatang liar dan ikan. Hingga suatu ketika manusia menemukan api. Api dapat digunakan untuk mengusir binatang buruan dan memasak makanan.
Penemuan api ini adalah bermula pencemaran dilakukan oleh manusia. Manusia beruntung kerana bila hutan dibakar, diganti padang rumput yang menyokong tanaman lain dan jumlah tanaman dan binatang turut bertambah.
Padang rumput ikut tumbuh untuk ternakan dan menyekat tumbuhan pokok-pokok besar menjadi hutan.
Manusia belajar menyimpan makanan untuk binatang peliharaan dan makanannya sendiri. Mereka belajar menyimpan makanan yang dituai. Akhirnya desa dan bandar-bandar dibangun dan tanah pertanian diperlukan.
Saluran untuk pengairan dan empangan dibina. Abad lalu masalah tanah adalah ciptaan manusia yang memusnahkan pokok yang mengakibatkan hakisan tanah dan munculnya padang pasir. Pokok ditebang atas nama pembangunan.
Pemimpin zaman lampau hingga zaman ini memikirkan bahawa pembangunan adalah dengan membina bangunan batu untuk manusia menghuninya.
Sebenarnya manusia sudah lama memusnah alam dengan menebang hutan, membuat kotor. Manusia Neolitik mula mengotorkan alam dengan api. Kotoran, asap, jelaga, lumpur sudah lama wujud atas buatan manusia.
Justeru perkembangan peradaban kononnya maka lebih banyak alam ditimpa bencana.
Dengan pertumbuhan bandar-bandar besar, manusia memerlukan makanan dan produksi makanan dibuat. Kilang-kilang dibangunkan.
Sungai menjadi tempat membuang sisa-sisa toksik yang merupakan pengotoran air dan udara.
Dimensi lain adalah manusia turut membakar fosil untuk mendapat tenaga. Eksploitasi tanah merubah parahnya alam. Abad 20, minyak dari perut bumi memainkan peranan penting sebagai tenaga. Mesin-mesin di kilang melepaskan kotoran di lingkungan kehidupan manusia bermastautin.
Sebenarnya manusia masih wujud di bumi ini adalah anugerah daripada Allah s.w.t. walaupun sekelilingnya merupakan alam yang beracun.
Tiga dekad terakhir ini manusia begitu tamak dan lalai mengejar kemajuan dengan merosak akan tempat mereka sendiri menghuni.
Pertambahan penduduk turut menghancurkan tanah pertanian yang berkualiti. Kajian yang dibuat di Amerika Utara dan Amerika Selatan menunjukkan lapangan tanah yang merupakan peninggalan zaman purba. Secara fizik permukaan bumi benua Amerika Selatan telah berubah. Di Mexico yang merupakan bekas ladang yang subur tetapi hari ini Mexico terpaksa mencari air dari tempat lain. Peradaban di Guatemala adalah merupakan peradaban kaum Maya yang memberi sumbangan pada daerah tersebut pada waktu itu tetapi saat ini musnah.
Kemungkinan besar nasib manusia ini tidak akan bertahan lama. Membuang sisa produksi dan sisa-sisa bekas adalah keterlaluan dilakukan oleh manusia. Kepadatan penduduk yang terlalu cepat hingga hari ini adalah cukup sukar untuk mendapat suatu lingkungan yang bersih.
Seratus tahun terakhir ini manusia sudah memaksa bumi menerima bahan-bahan kimia yang sulit untuk diterima seperti plastik, antibiotik, radioaktif, sisa pencuci, karbon dioksida.
Produksi bahan-bahan kimia belum berakhir. Belum ada satu kajian pun mengenai berapa banyak gas oksigen yang dibakar di negara ini dan berapa banyak oksigen yang diperlukan oleh untuk pernafasan dalam sehari?
Berapa banyak oksigen yang dibawa dari atmosfera lain ke negara ini? Di dalam ruang udara sudah tercatat lebih daripada 3,000 bahan kimia asing yang dihasilkan.
Udara di bandar-bandar besar dipenuhi oleh jerebu, debu halus, partikel-partikel getah hasil daripada pembakaran tayar getah dan asbestos yang semuanya adalah memberi implikasi kepada kesihatan manusia.
Cerobong asap dari kilang-kilang yang menghala di udara merupakan karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen. Semua bahan-bahan ini adalah memberi kesan pada kesihatan manusia.
Ahli ekonomi menyarankan perusahaan mesti tumbuh. Ahli politik bangga dengan pertumbuhan Keluaran Negara Kasar naik antara empat ke lima peratus tiap tahun dan kita tidak menghiraukan produksi sampah per kapita tumbuh dengan kecepatan yang hampir sama.
Kapasiti tenaga elektrik mesti ditingkatkan dengan 10 peratus setiap tahun dan kita lupa tenaga tersebut mesti dicampakkan ke ruang udara sebagai udara panas. Tugas manusia yang paling penting adalah menyelamat alam lingkungannya. Kerjasama erat antara pemikir-pemikir dalam bidang fizik, biologi, sosiologi, ekonomi, politik dan lain-lain ilmu akan membantu hasrat ini.
Di negara maju ramai orang yang mula mencampuri menyelesaikan masalah penting ini. Semoga masih ada waktu yang tinggal untuk kita memperbaiki keadaan ini.

PROF. DR. BUKHORY ISMAIL ialah pensyarah Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Teknologi Mara.

Wednesday, January 23, 2008

Hutan Paya Gambut kekal kestabilan alam sekitar

HUTAN Paya Gambut (HPG) bukan semata-mata hutan yang digenangi air. Ia adalah ekosistem yang unik terdiri daripada hidrologi, tanah dan tumbuhan. HPG lazimnya tumbuh selepas hutan paya bakau pesisiran pantai, meliputi kawasan lebih tiga kilometer (km) hingga lima km dataran landai sungai.

Dalamnya gambut, kebanyakannya terdiri daripada bahan tumbuhan separuh reput (proses pereputan sepenuhnya terhad kerana keadaan asidik serta ketiadaan aktiviti mikro-organisma) terkumpul lebih 8,000 tahun, boleh setebal di antara lapan hingga 20 meter.

Paya ini menyediakan pelbagai hasil hutan dan perkhidmatan, sama ada secara langsung dan tidak langsung, dalam bentuk produk perhutanan dan perikanan, pengawalan banjir, bekalan air dan sumber bekalan air bawah tanah.

Air di paya gambut secara umumnya mengandungi bahan humus yang tinggi. Bahan humus menjadikan air paya gambut berwarna perang atau hitam. Atas sebab inilah air paya gambut sering kali disebut sebagai ‘Permata Air Hitam’. Pendek kata, HPG adalah penting kerana keluasan tanah dan kepelbagaian biologinya. Lebih 60 peratus atau 20 juta hektar daripada keluasan tanah gambut tropika dunia terletak di Asia Tenggara terutama di Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, HPG meliputi hampir 75 peratus daripada jumlah kawasan tanah lembap meliputi kawasan seluas kira-kira 1.6 juta hektar. Lebih 80 peratus daripadanya terletak di Sarawak.

Pada 1981 Semenanjung Malaysia boleh berbangga dengan kawasan hutan paya gambut seluas kira-kira 670,000 hektar. Bagaimanapun, jumlah itu susut hampir separuh kepada kira-kira 340,000 hektar sedekad lepas apabila semakin banyak hutan dibuka untuk kegunaan perindustrian dan pertanian termasuk ladang getah dan kelapa sawit di samping perumahan. Kira-kira 67 peratus HPG di Semenanjung dilindungi dalam lingkungan Hutan Simpan Kekal (HSK), sementara bakinya dikenali sebagai hutan tanah kerajaan.

Hampir semua HPG yang terletak dalam lingkungan HSK dikelaskan sebagai hutan pengeluaran yang membolehkan aktiviti pembalakan secara berkekalan dilaksanakan. HPG yang terletak di dalam hutan tanah kerajaan bagaimanapun secara umumnya boleh ditukar kepada kegunaan lain. Dr Abdul Rahim Nik, Pengarah Projek Kebangsaan untuk projek HPG ini berkata, kebanyakan kawasan HPG di luar hutan simpan yang dibalak mengalami degradasi (kemerosotan) serius dengan pemulihan tumbuhan paya gambut kurang baik dan terdedah kepada ancaman kebakaran hutan.

“Kaedah pembalakan serta operasi pengendalian yang khusus diperlukan untuk mengeluarkan kayu balak daripada HPG sebagai langkah mengurangkan kehilangan kepelbagaian biologi dan kepadatan tanah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. HPG tropika Malaysia serta flora dan fauna yang mendiami habitat ini mempunyai kepentingan nasional dan global.

Dr Abdul Rahim berkata, HPG Malaysia bukan saja ekosistem unik iaitu ‘rumah’ bagi banyak spesies endemik, malah menyediakan perlindungan untuk lebih 60 spesies haiwan yang hampir pupus. Senarai haiwan yang hampir pupus itu termasuk Orang Utan, Monyet Proboscis, badak sumbu Sumatra, Gajah Asia, Harimau, Memerang Civet, Storm’s Stork dan sejenis burung kenyalang ’Wrinkled Hornbill’. Beliau turut menjelaskan kebanyakan hutan lembap juga menjadi bank gen atau baka untuk spesies tumbuhan yang berpotensi kegunaannya selain menyediakan produk hutan yang tinggi nilainya seperti kayu balak dan makanan.

“Banyak lagi spesies yang masih belum dikenali menunggu untuk dijumpai,” kata Dr Abdul Rahim. Kawasan HPG yang semakin susut terutama di Semenanjung Malaysia meyakinkan kerajaan untuk melaksanakan projek lima tahun.

“Pemuliharaan dan Penggunaan Berkekalan Hutan Paya Gambut Tropika dan Ekosistem Tanah Lembap,” bermula pertengahan 2002. Projek ini diselaraskan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) dan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Pahang, Sarawak dan Sabah.

Tujuan utama projek ini adalah untuk menghasilkan pelan pengurusan bersepadu bagi menjamin pemuliharaan dan penggunaan berkekalan hutan yang mempunyai kepentingan global ini. Tiga lokasi dipilih untuk projek ini iaitu Taman Negara Loagan Bunut (LBP) di Sarawak, Semenanjung Klias di Sabah dan Hutan Paya Gambut Tenggara Pahang (SEPPSF). Pahang (hutan simpan Pekan, Nenasi, Kedondong dan Resak) mempunyai bahagian terbesar hutan simpan di Semenanjung Malaysia iaitu sekitar 97,000 hektar.

Menurut Dr Abdul Rahim, setiap lokasi dipilih terdiri daripada ekosistem HPG yang kompleks dan secara kolektif menyokong kehidupan sekurang-kurangnya 60 spesies tumbuhan dan haiwan yang penting. Projek ini dibiayai Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP/Global Environmental Facility (GEF) dengan kerjasama Danish International Development Assistance (Danida).

Bagaimanapun, menurut Dr Abdul Rahim, Danida hanya terbabit dalam kajian hidrologi yang dijalankan dalam tempoh tiga tahun pertama daripada projek lima tahun itu.