Kesan pemanasan global terhadap industri padi
2010/06/28
Persidangan Padi Kebangsaan bincang strategi elak krisis bekalan beras 2008 berulang
KESAN pemanasan global dan perubahan cuaca dunia kepada industri padi negara adalah antara topik yang akan dibincangkan pada Persidangan Padi Kebangsaan yang akan berlangsung di Lumut, Perak, bermula hari ini hingga 30 Jun 2010.
Selain itu, penggunaan lestari dalam industri padi akan turut dibincangkan oleh peserta persidangan yang dibuka kepada mereka yang terbabit secara langsung dan berkaitan dengan industri berkenaan.
Timbalan Pengarah Agronomi dan Sistem Pengeluaran, Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri, di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Sariam Othman, berkata persidangan kali kedua yang diadakan selepas hampir 10 tahun tidak diadakan itu juga akan membincangkan secara terperinci usaha bagaimana pengeluaran padi dan beras negara dapat ditingkatkan.
Katanya, ketika ini, tahap sara diri beras negara adalah sekitar 72 peratus, manakala 28 peratus lagi bergantung kepada import beras dari luar negara.
“Kebergantungan kepada import sebenarnya amat berbahaya untuk keselamatan bekalan padi dan beras negara walaupun ia hanya di bawah 30 peratus. Kita tidak mahu krisis bekalan berulang seperti yang pernah terjadi pada 2008. Malaysia menetapkan tahap sara diri beras negara berada pada kadar 90 peratus.
“Pada tahun berkenaan, bukan hanya Malaysia menghadapi kekurangan bekalan tetapi seluruh dunia yang menjadikan beras makanan ruji mereka turut merasai kesannya.
“Krisis itu berlaku akibat kesan pemanasan global serta perubahan cuaca. Pada waktu itu, negara pengeksport tidak dapat memenuhi keperluan beras dunia kerana mereka juga harus memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan dalam negara masing-masing,” katanya.
Berdasarkan jangkaan penganalisis industri padi dunia, kesan pemanasan global dan perubahan cuaca menyebabkan beberapa penyakit baru dan pertambahan kerosakan padi akibat kemunculan serangga perosak.
Masalah penyakit dan serangan serangga perosak itu jika tidak ditangani dengan berkesan akan menyebabkan bekalan padi dan beras dunia terjejas dan ia sudah tentu menyebabkan kenaikan harga yang bakal membelenggu negara yang sangat bergantung kepada beras.
Dr Sariam berkata, selain masalah penyakit kesan pemanasan global dan perubahan iklim dunia, beliau menjangkakan antara krisis bekalan air kepada industri padi akan mendapat perhatian ramai.
Ini kerana, katanya krisis air jika tidak ditangani dengan betul akan memberi kesan teruk kepada industri padi kerana 75 peratus air diperlukan untuk penanaman padi.
“Persidangan kali ini akan mendedahkan peserta dengan penemuan dan usaha baru pelbagai institusi penyelidikan termasuk MARDI terhadap padi baru yang tidak terlalu bergantung kepada bekalan air.
“MARDI sendiri akan mengetengahkan penanaman padi Aerob iaitu padi yang tidak memerlukan banyak air untuk proses penanaman dan padi ini mampu mengeluarkan hasil lebih tinggi. Pengeluaran padi Aerob boleh ditingkatkan kepada lima hingga enam tan sehektar.
“Padi Aerob sudah berjaya ditanam di China dan Brazil sejak 10 tahun lalu dan padi ini sudah diperkenalkan di Malaysia pada 2005. Padi ini boleh ditanam seperti penanaman jagung dan boleh ditanam di luar musim (luar waktu musim hujan).
“Kita sudah pun menanam padi ini pada peringkat ladang di Kelantan dan stesen penyelidikan padi MARDI di Seberang Prai dan kini sedang berusaha mendapatkan jenis baru yang sesuai dengan cuaca di negara ini,” katanya.
Persidangan Padi Kebangsaan kali ini dijangka dihadiri 300 peserta dalam pelbagai bidang termasuk pelajar universiti dalam bidang penyelidikan dan pembangunan padi negara.
Dengan tema ‘Mengukuhkan Keselamatan Makanan Menerusi Pengeluaran Beras Mapan’, persidangan kali ini dijangka turut dihadiri wakil Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) di Manila, Dr K L Hiong, yang akan menyampaikan ucaptama mengenai isu kelestarian dan kepelbagaian bio dalam industri padi.
Selain membincangkan isu dan cabaran industri padi, objektif persidangan adalah untuk mendapatkan maklumat terkini dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri padi dan beras.
Malah, persidangan kali ini akan dijadikan forum untuk penyelidik, pihak yang berkaitan dalam industri membincangkan cabaran dan masa depan industri padi dan beras, selain meningkatkan jaringan serta kerjasama institusi penyelidikan dan agensi yang relevan dengan pengeluaran padi.
Mengenai penggunaan lestari dalam industri padi, Dr Sariam menjelaskan ia adalah antara topik yang penting dan perlu diberi perhatian serius kerana ia juga berkait rapat dengan isu pemanasan global dan perubahan cuaca dunia.
Penggunaan lestari bererti penggunaan perkhidmatan atau produk bagi pengeluaran padi dan beras perlu memenuhi keperluan asas dan membolehkan kita menjalani kehidupan yang berkualiti. Pada masa sama, ia dapat mengurangkan penggunaan sumber asli serta bahan toksik dan pelepasan sisa serta bahan pencemar sepanjang kitar hayat supaya tidak menjejaskan keperluan masa depan generasi akan datang.
“Kesedaran umum mengenai penjagaan alam sekitar dan pertambahan penggunaan racun biologi serta kawalan biologi menyebabkan isu kelestarian dalam industri padi semakin penting. Kita percaya isu ini akan terus dibincangkan pada mana-mana persidangan padi pada peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Sunday, June 27, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)