Pengurangan jurang kaya, miskin mampu wujud keseimbangan BUKU Common Wealth: Economics for a Crowded Planet, karya terbaru Profesor Jeffrey D Sachs (2008), seorang profesor tersohor dalam bidang ekonomi dari Universiti Harvard memang wajar dibaca. Beliau yang juga penyandang Kursi Profesor Ungku Aziz di Universiti Malaya menulis buku itu ketika sebahagian besar masyarakat dunia menghadapi pelbagai cabaran dari segi keamanan, tenaga, alam sekitar, penyakit, peluang pekerjaan, dan urbanisasi.
Realitinya sebahagian besar penduduk dunia di negara miskin semakin tertekan di bawah paras kemiskinan dan dilatari pula peperangan. Rakyat di negara maju pula terus berkembang malah ramai sudah tersasar akibat limpahan kemewahan. Menurut Sachs, cabaran abad ke-21 ialah menangani realiti yang perlu dikongsi bersama dalam sebuah dunia semakin padat mencecah 6.6 bilion dengan ekonomi bersaiz AS$60 trilion setahun.
Dalam kepadatan itu, pelbagai konflik dan percanggahan berlaku. Pembahagian kekayaan semakin tidak seimbang, perbalahan serantau kian membimbangkan, migrasi desa ke kota berterusan, begitu juga dengan penularan penyakit dan jenayah.
Itulah sebabnya hampir seluruh komponen ekologi digembleng sepenuhnya, sama ada oleh si miskin yang mencari-cari sesuap nasi atau pengusaha kaya yang ghairah untuk menokok harta sehingga menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem. Dan itulah sebabnya di banyak kawasan, keupayaan menampung ekosistem semakin berkurangan sehingga tanah tidak lagi subur, atmosfera berjerebu dan sumber air pupus.
Bagi Sachs, sumber kekayaan dan sumber alam yang masih berbaki perlu dikongsi untuk membolehkan seluruh penduduk dunia menghayati kehidupan sejahtera tanpa penindasan, pertumpahan darah, pencemaran alam sekitar, apatah lagi penghakisan keupayaan menampung ekosistem. Jika ada penduduk dunia tertekan akibat kemiskinan maka mereka akan berusaha untuk keluar dari kancah kemiskinan termasuklah melakukan jenayah, mencetuskan suasana tidak selamat dan merosakkan komponen ekosistem.
Akibatnya, bukan saja keamanan tergugat bahkan seluruh keseimbangan ekosistem akan terjejas. Hal ini tidak terbatas kepada penduduk dunia di negara membangun dan miskin, malah akan turut dirasakan semua pihak tanpa mengira status, kedudukan ekonomi dan geo-politik. Ketidakseimbangan ekosistem misalnya bersifat global, misalnya dalam konteks peningkatan suhu bumi dan kepupusan kepelbagaian. Ini menggerakkan Sachs mendesak semua pihak, khususnya di kalangan pengusaha dan pembuat dasar untuk lebih prihatin dan komited melaksanakan pembangunan lestari. Hal ini bukan gagasan baru.
Pada 1987, Suruhanjaya Bruntal ditugaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencadangkan bentuk pembangunan lestari yang perlu dilaksanakan di seluruh dunia.
Laporan Bruntal, Our Common Future (1987) adalah dokumen asas akan pemikiran lestari. Pada 1997, Protokol Kyoto dimetrai mengenai inisiatif mengurangkan pelepasan gas rumah kaca di kalangan negara maju. Pada 2000, PBB melancarkan Matlamat Pembangunan Alaf Baru dengan tumpuan mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan peluang pendidikan.
Setiausaha Agung PBB ketika itu, Kofi Annan melancarkan revolusi hijau di Afrika pada 2003. Dan pada minggu ini, persidangan pasca Protokol Kyoto sedang dirundingkan di Makuhari, Jepun. Di kalangan pemimpin dan intelektual negara Islam pula, isu ini turut dibahaskan di pelbagai genre. Isu pokok tidak terhad kepada pembangunan ekonomi atau pengurusan alam sekitar. Ia turut merangkumi keseluruhan dimensi kehidupan membabitkan pembangunan, teknologi, saintifik, perundangan, sosial, agama dan falsafah hidup. Itulah juga dimensi yang disorot Sachs dalam buku terbarunya itu.
Dalam hal ini, saya mencadangkan - selepas kita menyaksikan suasana penuh dramatik dalam arena politik tempatan - agar sama-sama menilai semula dasar yang dilaksanakan selama ini pada peringkat nasional, negeri dan tempatan. Penilaian ini perlu kita lakukan sesuai dengan realiti sosiopolitik yang semakin rencam dan persekitaran sejagat semakin mencabar yang memerlukan pendekatan baru bukan konvensional.
Sebagai contoh, peningkatan harga minyak melepasi AS$100 setong memerlukan kita mengubah dasar dan amalan dari segi penjimatan tenaga. Sudah pasti penjanaan tenaga alternatif perlu disegerakan. Persaingan juga semakin hebat untuk menyediakan iklim pelaburan baru kepada pemodal antarabangsa yang memerlukan kita lebih kreatif dan inovatif. Pelabur asing nampaknya tidak lagi terpanggil hanya kerana insentif ekonomi yang menarik. Aspek pematuhan perundangan dari segi pengawalan pencemaran, harta intelektual, pengawalan jenayah dan modal insan berkualiti juga menjadi sandaran.
Pada hemat saya, dasar pembangunan sedia ada, termasuklah pasca Dasar Ekonomi Baru, memang baik dan sesuai dengan realiti tempatan. Namun demikian kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa. Untuk membolehkan Malaysia terus menapak jauh bersaing dengan negara lain menjadi negara maju menjelang 2020, inisiatif perlu digembleng supaya persekitaran dan realiti semasa ditangani sebaiknya. Persoalan ini perlu digarap segera kerana pembangunan konvensional di serata dunia ternyata tidak menjamin kesinambungan pembangunan itu sendiri, serta menjejaskan pula keseimbangan ekosistem dan merosakkan struktur sosial masyarakat. Kemiskinan terus berleluasa, ketidakseimbangan sosial semakin lumrah. Sachs menjelaskan berleluasanya kemiskinan bukan disebabkan tidak ada program pembangunan dan pelaburan berbilion dolar, tetapi kerana tidak diasaskan konsep lestari. Lestari dalam konteks pembangunan ummah berkait rapat dengan penggunaan sumber alam, modal insan, sistem kewangan dan sosioekonomi. Komitmen kita terhadap kehidupan lestari boleh dinilai menggunakan analisis ecological footprint atau tapak ekologi. Analisis tapak ekologi bertujuan untuk mengukur permintaan sumber alam (tanah, air, mineral, kayu, bahan binaan, biojisim dan sebagainya) membandingkan terhadap keupayaan ekosistem untuk menghasilkannya semula (regenerasi). Tapak ekologi memberi anggaran keluasan tanah dan marin diperlukan pengguna apabila menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan berbanding keupayaan sumber alam menghasilkan semula sumber tersebut. Tapak ekologi tinggi menunjukkan kehidupan atau pembangunan yang tidak lestari. Bagi berkongsi hidup dalam sebuah dunia yang semakin tercemar dan padat, kita tidak punya banyak pilihan. Yang pasti setiap warga dunia yang mewah perlu mengurangkan tapak ekologi dan memberi peluang kepada si miskin untuk berkembang. Sesungguhnya, saya sehati dengan Sachs bahawa abad ke-21 ini akan menyaksikan banyak asas ekonomi konvensional tidak lagi relevan.
Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia
Tuesday, March 25, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)